MADINAH 9 Feb. - Sebanyak 15 orang jemaah umrah terkorban dan lebih 130 orang lagi cedera, selepas hotel yang mereka diami terbakar di sini, semalam.
Kebakaran tersebut berlaku di Hotel Ishraq al-Madina kira-kira pukul 2.33 petang waktu tempatan dan berjaya dikawal dua jam kemudian oleh 110 anggota bomba.
Menurut pegawai yang dipetik agensi berita SPA, sebanyak 700 orang berada di dalam hotel berkenaan ketika kebakaran itu berlaku.
Jurucakap Palang Merah Arab Saudi, Mohammed Mahmoud Kheyat berkata, kebanyakan mangsa maut akibat terhidu asap.
Pihak berkuasa turut menutup jalan-jalan utama ke hotel yang terletak di Sitteen Street itu, bagi tujuan pemindahan mangsa ke tempat selamat.
Punca kejadian sedang disiasat dengan sumber memberitahu, laporan awal menunjukkan kebakaran itu berlaku ekoran masalah litar pintas ketika kerja-kerja penyelenggaraan dijalankan.
Seramai 30 orang yang cedera, dirawat di tempat kejadian dan selebihnya dihantar ke Hospital King Fahd dan Hospital Ansar.
Ada sesetengah daripada jemaah yang terperangkap di dalam hotel, bertindak memanjat bumbung hotel untuk menyelamatkan diri.
Sumber: Utusan Online, 10/2/2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan