JAKARTA – Penyanyi Kris Dayanti akhirnya mengaku dia telah hamil empat bulan dan terpaksa menerima hakikat itu biarpun dilempar dengan pelbagai kecaman oleh masyarakat Indonesia kerana mengandung anak luar nikah.
Mahu atau tidak, Kris, 36, dan suaminya, Raul Lemos, 40-an, menerima berita itu dengan rasa tanggungjawab selepas menyedari kesilapan mereka sebelum berkahwin.
“Kami sudah dewasa. Kami menerima berita ini (kehamilan) dengan rasa tanggungjawab,’’ jelas Kris yang kini berada di Bali bersama suaminya.
Kris bernikah dengan usahawan dari Timor Leste itu pada 20 Mac lalu.
Dalam teks khidmat pesanan ringkas (SMS), Kris memberitahu Kosmo!, dia pada mulanya tidak berniat menghebahkan secara terbuka berita kehamilan itu kerana ia perkara sensitif.
Namun Kris berpendapat, adalah lebih baik dia sendiri mengesahkan perkara itu daripada membiarkan ia keluar dari mulut orang lain.
“Benda ini (kehamilan) sudah terjadi. Kalau apa yang diberikan Allah ini tidak saya akui, nanti timbul cerita yang tidak betul seperti saya melakukan abortion (gugurkan kandungan) pula,” katanya.
Sumber: Kosmo! Online, 20/4/2011