PILIHANKU

TAJAAN

04 Oktober 2010

PEGAWAI IMIGRESEN DITANGKAP RASUAH....?

2 ditahan suap RM33,600 seminggu

SEREMBAN 3 Okt. - Dua lagi pegawai Imigresen ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai 'menyeludup' pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini yang dikatakan meraih pendapatan sehingga RM33,600 seminggu.
Pegawai yang bertugas di jeti Port Dickson, dekat sini itu dikatakan mengenakan bayaran RM5,600 bagi setiap feri membawa PATI sejak empat tahun lalu. Dalam seminggu, enam feri yang setiap satu mengangkut kira-kira 70 PATI dari Dumai, Indonesia akan berlabuh di jeti Port Dickson.
Dalam tangkapan Rabu lalu itu, SPRM turut merampas wang tunai berjumlah RM26,000 di pejabat salah seorang pegawai terbabit.
Kelmarin, seorang pegawai Imigresen turut ditahan kerana menjadi dalang sindiket 'menyeludup' PATI melalui jeti Pulau Ketam, Selangor.
Jurucakap SPRM negeri berkata, dua pegawai yang berusia 40-an dan 50-an itu diberkas bersama-sama seorang lelaki, kira-kira pukul 7 petang di jeti berkenaan, Rabu lalu.
Difahamkan, lelaki yang ditahan itu menjadi perantara dengan tekong feri Indonesia untuk membawa masuk PATI dari negara tersebut.
Menurut jurucakap SPRM itu, hasil intipan SPRM mendapati kedua-dua orang pegawai itu telah melakukan kegiatan tersebut sejak empat tahun lalu.
"Mereka (pegawai) menerima rasuah RM5,600 bagi setiap feri yang membawa 70 orang PATI dari Dumai, Indonesia yang ingin masuk ke negara ini," katanya di sini hari ini.

Sumber: Utusan Malaysia Online, 4/10/2010

Komen penulis: Patut pun ramai PATI, kerana ada yang jual negeri....?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan