Perangkaan Pembuatan Bulanan Malaysia April 2010 (Kemaskini:10/06/2010) |
Khamis, 10 Jun 2010 12:01 |
PRESTASI BULAN APRIL 2010 1. NILAI JUALAN Nilai jualan sektor Pembuatan pada bulan April 2010 tahun ke tahun terus mencatatkan peningkatan dua digit sebanyak 19.6% (RM7.03 bilion) kepada RM42.9 bilion berbanding RM35.9 bilion yang dilaporkan pada bulan April 2009. Bulan ke bulan, nilai jualan pula menurun sebanyak 7.0% atau RM3.2 bilion berbanding dengan bulan sebelumnya. Nilai jualan pada bulan Mac 2010 dikemaskini kepada positif 26.4% tahun ke tahun kepada RM46.1 bilion. Peningkatan tahun ke tahun pada bulan semasa berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya telah dijanakan oleh pertumbuhan nilai jualan oleh 77 industri (66.4%) daripada 116 industri yang diliputi dalam penyiasatan. Lima industri utama yang telah mengalami peningkatan nilai jualan ialah Pembuatan Produk Petroleum Bertapis (17.4%), Pembuatan Kimia Perindustrian Asas Lain kecuali Baja dan Sebatian Nitrogen (49.9%), Pembuatan Penerima Televisyen dan Radio, Rakaman Bunyi atau Video atau Peralatan Rakaman Semula dan Barangan Berkaitan (41.6%), Pembuatan Produk Besi Asas dan Keluli (47.3%) dan Pembuatan Kenderaan Bermotor (56.2%). Penurunan bulan ke bulan pada bulan semasa berbanding bulan sebelumnya adalah kesan kejatuhan nilai jualan oleh 70 industri (60.3%) daripada 116 industri yang diliputi dalam penyiasatan. Lima industri utama yang telah mengalami penurunan nilai jualan ialah Pembuatan Produk Petroleum Bertapis (18.3%), Pembuatan Kimia Perindustrian Asas Lain kecuali Baja dan Sebatian Nitrogen (20.3%), Pembuatan Injap dan Tiub Elektronik dan Papan Litar Bercetak (12.1%), Pembuatan Produk dan Komponen Diacu Suntikan Plastik (23.6%) dan Pembuatan Pemancar Televisyen dan Radio dan Peralatan untuk Talian Telefon dan Telegraf (17.7%). 2. BILANGAN PEKERJA Jumlah pekerja bergaji bagi sektor Pembuatan pada bulan April 2010 adalah seramai 968,773 orang, meningkat sebanyak 9,361 orang atau 1.0% berbanding bulan sebelumnya. Tahun ke tahun, bilangan pekerja juga mencatatkan peningkatan sebanyak 25,302 orang atau 2.7%, berbanding dengan 943,471 orang pada April 2009. Bilangan pekerja bergaji pada bulan Mac 2010 dikemaskini kepada positif 0.5% tahun ke tahun kepada 959,412 orang. 3. GAJI & UPAH Nilai gaji & upah yang dibayar pada bulan April 2010 menurun sebanyak 0.9% atau RM19.3 juta bulan ke bulan, kepada RM2,176.3 juta. Bagaimanapun, jumlah yang dibayar pada bulan April 2010 meningkat berbanding dengan bulan yang sama tahun sebelumnya, iaitu 18.3% atau RM337.3 juta. Nilai gaji & upah yang dibayar pada bulan Mac 2010 dikemaskini kepada positif 18.8% tahun ke tahun kepada RM2,192.6 juta. 4. PRODUKTIVITI Produktiviti atau purata nilai jualan bagi setiap pekerja pada bulan April 2010 menurun 7.9% bulan ke bulan kepada RM44,283. Bagaimanapun, produktiviti pada bulan April 2010 mencatatkan peningkatan sebanyak 16.5% berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya. Nilai produktiviti pada bulan Mac 2010 dikemaskini kepada positif 25.7% tahun ke tahun kepada RM48,059. PRESTASI DALAM TEMPOH JANUARI - APRIL, 2010 Pada tempoh Januari – April 2010, nilai jualan sektor Pembuatan mencatatkan peningkatan dua digit sebanyak 22.9% atau RM32.1 bilion kepada RM172.5 bilion. Bilangan pekerja bergaji industri Pembuatan juga meningkat sebanyak 1.0% atau 9,361 orang kepada 968,773 orang. Secara kumulatif, produktiviti atau purata nilai jualan bagi setiap pekerja pada tempoh rujukan meningkat sebanyak 21.7% kepada RM178,084. Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan