Lelaki Palestin tembak mati polis Israel
BAITULMUQADDIS - Beberapa lelaki Palestin yang bersenjata disyaki menembak mati seorang anggota polis Israel dan mencederakan dua yang lain dalam satu serangan ke atas kenderaan mereka di Tebing Barat semalam.
"Ia merupakan satu serangan pengganas yang dilakukan terhadap sebuah kereta polis. Kami sedang menyiasat lokasi kejadian," kata seorang jurucakap polis, Micky Rosenfeld.
Setakat ini tiada pihak daripada kumpulan Palestin mengaku bertanggungjawab dalam serangan dekat bandar Hebron di Tebing Barat.
Jumlah serangan dan kematian di Tebing Barat telah menurun dengan ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Namun, pada bulan lalu, beberapa orang peneroka haram Yahudi menembak mati seorang remaja Palestin berhampiran Ramallah selepas mangsa membaling batu ke arah kereta mereka.
Serangan maut yang terakhir ke atas warga Israel berlaku pada Februari lalu apabila seorang anggota polis Palestin menikam sehingga mati seorang askar di Tebing Barat.
Dianggarkan terdapat 500,000 orang peneroka haram Yahudi dan 2.5 juta warga Palestin tinggal di Tebing Barat serta beberapa kawasan berhampiran Baitulmuqaddis yang dikuasai Israel sejak perang Arab-Israel berlaku pada tahun 1967.
Sumber: Kosmo! Online, 15/6/2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan