SIRI SERANGAN RAMADAN...?
KUT 15 Ogos - Sekurang-kurangnya 66 orang maut dan lebih 230 lagi cedera dalam beberapa serangan keganasan di Iraq hari ini, termasuk 40 mangsa yang maut dalam dua serangan hampir serentak di bandar Kut, tengah negara ini.
Lonjakan keganasan itu, yang berlaku hanya beberapa bulan sebelum tentera AS dijadual berundur, menimbulkan persoalan mengenai keupayaan pasukan keselamatan Iraq untuk memelihara ketenteraman.
Sebelum itu para pemimpin Iraq bersetuju untuk memulakan rundingan dengan Washington mengenai misi latihan tentera yang hendak dilanjutkan selepas pengunduran askar AS pada akhir tahun ini.
Dalam serangan paling berdarah hari ini, sebuah kereta yang sarat dengan bahan letupan dan sebutir bom di tepi jalan meletup selang hanya beberapa minit pada pukul 8 pagi ini (1 petang waktu Malaysia) di tengah Kut, kata pegawai perubatan dan keselamatan.
"Setakat ini kami menerima 34 mayat dan merawat 52 mangsa yang cedera, termasuk wanita dan kanak-kanak," kata seorang doktor di hospital Al-Zahra di Kut, Ali Hussein.
Seorang pegawai keselamatan di Kut berkata, letupan itu berlaku di kawasan sesak di pusat bandar tersebut, 160 kilometer ke selatan Baghdad.
Sumber: Utusan Online, 16/8/2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan