Mayat rentung dalam kereta di Seremban Selatan
15/06/2010 11:02am
Gambar hiasan...?
SEREMBAN 15 Jun — Sepasukan anggota bomba dan penyelamat dari Balai Senawang hari ini menemukan mayat rentung yang tidak diketahui jantinanya dari sebuah kereta Proton Waja yang sedang terbakar dalam satu kejadian di Taman Seremban Selatan di sini pukul 11 malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, ACP Mohd Zaki Masroh berkata, mayat itu ditemukan rentung di dalam bonet kereta itu yang dilaporkan hilang pada Mei lepas dari kawasan Damansara, Kuala Lumpur.
"Kita memang percaya ada perbuatan khianat. Buat masa ini kita tidak tahu apa-apa, cuma kita dapat sedikit maklumat dari casis kereta. Kita juga temui sebilah parang di sebelah mayat,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Katanya, bomba telah menerima panggilan dari orang awam pada pukul 10.45 malam apabila mereka terlihat api sedang marak di kawasan belukar berhampiran tangki air taman itu.
Semasa memadamkan kebakaran, pasukan enam anggota bomba itu terbau daging terbakar yang agak kuat dari kereta yang sedang terbakar menyebabkan salah seorang anggota membuka bonet selepas api berjaya dipadamkan dan menemukan mayat yang rentung itu, katanya. — Bernama
Sumber: Ubah suai daripada Kosmo! Online, 15/6/2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan