Cahaya ganjil di barat Kanada
VANCOUVER - Cahaya aneh dilaporkan muncul di barat Kanada menyebabkan beberapa orang pakar menyatakan ia adalah penemuan objek terbang yang tidak dikenali (UFO), lapor sebuah akhbar.
Cahaya berbentuk bebola itu turut membentuk lingkaran sebelum bersinar dengan terang dan hilang secara tiba-tiba.
Fenomena tersebut yang dirakamkan baru-baru ini oleh seorang lelaki, Steven Murray telah disiarkan oleh sebuah akhbar pada Isnin lepas manakala klip videonya boleh ditonton di laman perkongsian video, YouTube.
"Saya memasang empat kamera untuk merakamkan imej tahi bintang. Kamera nombor tiga yang merakamkan fenomena ini," kata Murray.
"Saya melihatnya dari pejabat saya semasa sedang bekerja. Objek itu berada di skrin monitor. Apabila saya bergegas keluar, objek tersebut sudah hilang tetapi sejurus kemudian saya mendengar bunyi dentuman yang amat kuat," tambahnya.
Lingkaran cahaya itu menyerupai lingkaran cahaya di langit Norway pada 9 Disember tahun lalu yang pada awalnya disangka sebagai UFO tetapi kemudian dianggap berpunca daripada satu ujian peluru berpandu Rusia yang menemui kegagalan.
Ramai pembaca bagaimanapun, sangsi dengan peristiwa ganjil itu dan tidak kurang yang menyatakan itu adalah palsu dan dibuat dengan menggunakan teknik pengimejan penjanaan komputer. - Agensi
Ubah suai daripada Kosmo, 27/5/2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan