PILIHANKU

TAJAAN

26 Mei 2010

Teknologi Pertahanan...?


Sistem RWS Kongsberg mampu selamatkan nyawa







SISTEM RWS Protector Kongsberg yang dipasang pada kenderaan Humvee.




PERANG sememangnya tidak dapat dipisahkan dengan kehilangan nyawa. Sama ada membabitkan anggota tentera atau orang awam.
Sebab itu antara teknologi pertahanan atau persenjataan yang kian menjadi pilihan ialah yang mampu meminimumkan angka korban.
Salah satu caranya ialah dengan mengurangkan seminimum mungkin pendedahan setiap anggota tentera sebagai sasaran musuh.
Pada pertempuran darat misalnya, anggota tentera yang mengendalikan senjata tempur kerap kali menjadi sasaran sama ada akibat serangan hendap atau pertempuran terbuka.
Untuk mengurangkan risiko ini terutama kepada anggota yang membuat rondaan dan intipan ialah penggunaan stesen kawalan senjata tersembunyi atau Remote Weapon Station (RWS).
Dalam perang moden peranan RWS cukup penting. Ia membolehkan senjata dikendalikan secara kawalan tanpa menjadikan pengendalinya sebagai sasaran.
Sistem ini terbukti berkesan ketika perang Afghanistan dan Iraq oleh tentera Amerika Syarikat (AS).
Antara syarikat yang cukup terkenal dalam membekalkan RWS ialah Kongsberg yang berpangkalan di Norway dengan sistem yang dikenali sebagai RWS Protector.
Keluarga RWS Protector dari Kongsberg mempunyai lebih 6,000 sistem yang digunakan secara meluas di seluruh dunia.
Malah ia boleh digunakan di atas platform yang pelbagai.
Sehingga November tahun lalu, ia telah digunakan oleh 17 negara termasuk kuasa besar dunia AS.
Fungsi RWS Protector Kongsberg ialah menetapkan sasaran menembak atau Detached Line of Sight (DLoS). Ia membolehkan penembak mencari sasaran dan seterusnya mengunci sasaran tersebut bagi tembakan lebih tepat.
DLoS boleh melakukan pemerhatian hingga pada sudut 45 darjah dan kemampuan fokus 30 kali ganda bagi sasaran jauh.
Yang paling penting penembak boleh menggunakan sistem ini dari jarak jauh dan ketika kenderaan bergerak dalam apa juga bentuk muka bumi.
Selepas dikenalpasti, sasaran akan dikunci melalui sistem RWS Protector Kongsberg untuk tindakan seterusnya - tembakan tepat.
Penggunaan oleh beberapa negara yang terlibat dengan perang terutama tentera AS di Iraq dan Afghanistan membukti sistem RWS Protector dibina untuk melindungi anggota dalam kenderaan berperisai.
Sebelum ini anggota tentera terpaksa menghulurkan kepalanya keluar untuk mengendalikan senjata pada kenderaan berperisai, yang mana ia mendedahkan mereka kepada bahaya.
Tetapi dengan RWS Protector Kongsberg, senjata akan diletakkan pada sistem itu untuk dikendalikan dari dalam kenderaan.
Berikutan kejayaan di Iraq dan Afghanistan, AS kini sedang membuat pesanan baru sistem RWS Protector Kongsberg untuk kegunaan tenteranya.
Antara yang paling popular ialah model M151 Protector yang direka untuk senjata kecil dan sederhana.
Ia boleh diintegrasikan dengan senjata Browning M2 (12.7mm), MK19 (pelancar grenad 40mm), M240 (7.62mm) dan M249 (5.56mm).
Di Malaysia sisrem RWS Protector Kongsberg diedar oleh CitySkill Manufacturer Sdn. Bhd.
Ia merupakan pengedar tunggal di Malaysia dan rantau ASEAN yang dilantik oleh Kongsberg.
Menurut Pengarah Utusan CitySkill, Datuk Mazli Mohan Alias, RWS Protector sesuai untuk kegunaan kepada pelbagai jenis kenderaan berperisai sama ada 6x6 atau 8x8.
Malah katanya, ia sesuai untuk sistem persenjataan yang ada dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu pelancar grenad 40mm.
"RWS Protector ini sesuai dengan teknologi persenjataan sedia ada pada ATM," katanya.
Jadi katanya, penggunaan sistem itu tidak memerlukan pelaburan tambahan oleh ATM kerana ia boleh digunakan pada platform sedia ada.
Lagi pula 17 negara utama dunia terutama negara-negara kuasa tentera menggunakan sistem yang mana ia terbukti antara yang terbaik.
Selain sebagai pengedar kata Mazli, pihak CitySkill juga sedang berunding dengan Kongsberg untuk menjadi rakan industrinya yang bakal membabitkan pemindahan teknologi ke negara ini.
"Sistem ini ternyata berkesan dan telah terbukti apabila ia menjadi pilihan utama oleh negara-negara lain," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan