KRITIKAN DR. MAHATHIR BENAR...?
KUALA LUMPUR 21 Jan. - Kritikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung nasib orang Melayu di Singapura yang dikatakan terpinggir dan ketinggalan adalah benar.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, komen oleh beberapa orang Melayu yang merupakan rakyat Singapura berhubung kritikan Dr. Mahathir itu sebenarnya adalah propaganda yang dirancang bagi menutup cerita tentang Melayu Singapura yang tertindas.
"Kita tidak hairan langsung dengan berita yang disiarkan oleh akhbar Berita Harian Singapura baru-baru ini mengenai kritikan terhadap Dr. Mahathir.
"Kita percaya ia adalah propaganda dan psikologi terbalik. Siapa dan orang Melayu mana yang benar-benar bersuara di Singapura? Kita semua tahu kebebasan di sana. Silap sikit pasti kena," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan akhbar Berita Harian Singapura yang menyiarkan beberapa surat daripada pembacanya sepanjang minggu lepas yang mengecam Dr. Mahathir kerana sering memberi ulasan mengenai nasib Melayu republik itu yang terpinggir dan ketinggalan.
Melalui ruangan forum akhbar itu, seorang pembaca, Sallim Ahmad menulis bahawa beliau rasa tercabar mengikuti ulasan Dr. Mahathir yang dikatakan membuat kenyataan yang tidak berasas itu.
Ibrahim bagaimanapun berkata, semua orang tahu bahawa hakikat sebenarnya adalah orang Melayu di Singapura ditindas.
"Kita semua tahu tidak perlu banyak cerita. Mana ada pegawai tinggi Melayu dalam perkhidmatan awam di negara itu atau dalam tentera," katanya.
Beliau berkata, kritikan Dr. Mahathir terpaksa ditutup dengan melancarkan propaganda menggunakan dua tiga kerat orang Melayu yang tidak sedar diri di negara itu.
Sumber: Utusan Malaysia Online, 23/1/2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan