PILIHANKU

TAJAAN

30 Januari 2011

ANALISIS SOALAN BM 2 PMR 2010...?

Peperiksaan  PMR 2010 telah berlalu dan keputusannya pun telah lama diumumkan. Tahniah kepada calon-calon yang berjaya dengan cemerlang dan pada yang kurang bernasib baik, jadikan keputusan itu sebagai sesuatu yang boleh dijadikan iktibar.
Pada kesempatan kali ini, cikgu ingin berkongsi maklumat tentang soalan Bahasa Melayu Kertas 2 (2010) iaitu bahagian penulisan. Seperti sedia maklum kertas ini mengandungi 5 soalan iaitu:
  1. Bahagian A(i) – Ringkasan
  2. Bahagian A(ii) – Pemahaman
  3. Bahagian B – Karangan Berdasarkan Bahan Rangsangan
  4. Bahagian C – Karangan
  5. Bahagian D – Novel
Bagi soalan Bahagian A(i) iaitu ringkasan, calon diarahkan untuk membuat ringkasan berdasarkan petikan tentang kepentingan sukan.
ARAHAN SOALAN:-
  • Tulis ringkasan tentang kepentingan sukan dalam meningkatkan kecemerlangan murid.
  • Panjangnya tidak melebihi 80 patah kata.
ANTARA ISINYA:
  1. Sukan dapat meningkatkan disiplin murid.
  2. Murid akan terdidik untuk mengagihkan masa dengan sewajarnya.
  3. Sukan mampu melahirkan insan yang sihat dari segi fizikal dan mental.
  4. Murid akan mempunyai akal yang sempurna untuk berfikir.
  5. Sukan menerapkan semangat berpasukan yang tinggi.
  6. Murid juga akan mempunyai semangat juang yang kental.
  7. Murid juga mampu menerima kegagalan secara positif.
Bagi soalan Bahagian A(ii) iaitu pemahaman, 3 soalan dikemukakan, iaitu:-
  1. Berikan maksud berganding bahu dalam petikan. [2 markah]
  2. Bagaimanakah Majlis Sukan Negara dan Kementerian Belia dan Sukan membantu dalam mempertingkatkan pencapaian sukan dalam kalangan pelajar? [4 markah]
  3. Sesetengah ibu bapa kurang menggalakkan anak-anak mereka terlibat dalam aktiviti sukan. Pada pendapat anda, mengapakah keadaan ini berlaku? [4 markah]
JAWAPAN:-
  1. Maksud frasa berganding bahu ialah saling bekerjasama.
  2. Majlis Sukan Negara memberikan sokongan kepada kegiatan sukan dan mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan di sekolah manakala Kementerian Belia dan Sukan telah bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran Malaysia membina sekolah sukan dengan lebih banyak.
  3. Pada pendapat saya, ibu bapa kurang menggalakkan anak-anak mereka terlibat dalam aktiviti sukan adalah kerana khuatir akan mengganggu prestasi akademik anak-anak. Selain itu ibu bapa juga takut anak-anak mereka terbabit dengan kecederaan atau kemalangan ketika bersukan.
Bagi soalan Bahagian B iaitu karangan bahan rangsangan, calon diminta mengarang kesan-kesan kegiatan pembalakan secara tidak terkawal berdasarkan gambar rajah yang disediakan.
  • KESAN KEGIATAN PEMBALAKAN SECARA TIDAK TERKAWAL:-
  1. Kemusnahan flora dan fauna
  2. Pencemaran sungai
  3. Kejadian tanah runtuh
  4. Kejadian banjir
Bagi soalan Bahagian C, tajuk atau soalannya adalah seperti berikut:-
  1. Anda telah menyaksikan persembahan kebudayaan yang diadakan di tempat tinggal anda. Ceritakan acara-acara yang dipersembahkan dalam persembahan kebudayaan tersebut.
  2. Ibu bapa merupakan insan yang disayangi. Jelaskan perkara-perkara yang patut anda lakukan sebagai bukti bahawa anda menyayangi mereka.
  3. Anda akan menyertai pertandingan syarahan yang dianjurkan oleh pihak sekolah anda. Tajuk syarahan itu ialah ‘Muafakat Membawa Berkat’. Sediakan teks syarahan anda selengkapnya.
  4. Sektor pelancongan memberi sumbangan besar kepada ekonomi negara. Huraikan usaha yang perlu dilakukan untuk memajukan sektor pelancongan di negara kita.
  5. Anda telah membaca sebuah cerpen yang menarik. Tulis pendapat anda tentang cerpen tersebut.
Manakala bagi soalan terakhir iaitu Bahagian D (Novel), calon diminta menyatakan 3 contoh peristiwa yang terdapat dalam novel Tingkatan 3 berkenaan nilai, iaitu:-
  • Kanang Cerita Seorang Pahlawan – Nilai kegigihan
  • Panas Salju – Nilai kasih sayang
  • Merdeka! Merdeka! – Nilai kegigihan
  • Ekspedisi – Nilai kegigihan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan