PILIHANKU

TAJAAN

04 September 2010

PATUTKAH UMAT ISLAM MEMBISU...?


ORANG ISLAM SELALU DITIPU HIDUP-HIDUP

Penulis terkedu dan perasaan marah membuak-buak seketika apabila membaca berita yang dikeluarkan oleh JAKIM yang mengatakan bahawa minyak sapi berjenama QBB PURE GHEE tidak halal dan tidak boleh digunakan oleh orang Islam. Minyak sapi tersebut dikatakan mengandungi bahan yang diragui (lemak babi) dan semua mengetahui bahawa minyak sapi menjadi salah satu adunan penting dalam setiap masakan seperti nasi minyak, nasi beriani, nasi bukhari, masakan kuzi, biskut dan pelbagai lagi yang sememangnya menjadi kegemaran utama kita.

Jika benar dakwaan JAKIM (diharapkan tidak benar) tersebut, bermakna ratusan ribu atau jutaan umat Islam secara tidak sengaja telah memakan makanan yang HARAM dan kini telah menjadi darah daging kita. Babi yang begitu dipandang kotor oleh umat Islam sebenarnya telah menjadi sebahagian daripada makanan kita seharian. Apalah nasib umat Islam di negara ini yang sering menjadi mangsa manusia yang jahat dan tidak bertanggungjawab.

Perasaan sakit hati saya bertambah-tambah apabila melihat logo halal terpampang di setiap tin minyak sapi tersebut. Siapakah yang telah memberikan kebenaran penggunaan logo halal tersebut. Atau jika wujud unsur penipuan, apakah tindakan yang patut diambil kepada pihak pengilang? Adakah cukup dengan sekatan yang telah dibuat, sedangkan umat Islam telah tertipu begitu lama dan seolah-olah dipermainkan dan diperbodoh begitu sahaja.

Kepada mereka yang bertanggungjawab dan memikul amanah, ambillah tindakan yang tegas dan berat kepada mereka yang bersalah dan ingat, tanggungjawab anda menjaga kebajikan umat Islam akan diungkit  di akhirat kelak. Peliharalah kebajikan umat Islam di negara ini daripada sebarang penipuan yang boleh menghina umat Islam dan seterusnya agama Islam yang suci ini. Bertindak tegas adalah amat penting agar dapat memberikan teladan kepada pihak-pihak lain supaya tidak cuba-cuba untuk mempermainkan orang Islam lagi.

Hab Halal dunia yang diuar-uarkan tak akan ke mana jika kita tidak serius melaksanakannya.
 

1 ulasan:

  1. Malang sungguh nasib orang Islam di Malaysia,makan makanan yang tidak halal,apakah tindakan daripada pihak yang bertanggungjawab dalam hal ini. Ini perkara yang serius.

    BalasPadam