Enam NKRA capai KPI ditetapkan: PM
2010/06/06
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam memaklumkan semua enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), diperkenalkan pada Julai tahun lalu bagi menjadi kayu ukur prestasi kerajaan, sudah mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ditetapkan.
Dalam ucapannya pada majlis pengurniaan pingat dan darjah kebesaran sempena ulang tahun Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara semalam, Najib berkata enam NKRA itu dikenal pasti selepas kerajaan mendengar keluh kesah serta pandangan rakyat.
“Alhamdulillah, semua enam bidang NKRA yang dikenal pasti mencapai KPI ditetapkan.
“Ternyata hasil daripada langkah diambil amat memberangsangkan di mana pada suku pertama tahun ini, indeks jenayah telah turun sebanyak 15.1 peratus manakala jenayah jalanan sebanyak 39.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu," katanya.
Najib berkata, selain inisiatif berhubung peranan dan fungsi kerajaan melalui Program Transformasi Kerajaan (GTP), kerajaan juga memperkenalkan inisiatif bersabit ekonomi melalui Program Transformasi Ekonomi (ETP), sebagai tujahan bagi memastikan wawasan nasional dapat direalisasikan mengikut jadualnya.
Katanya, kerajaan akan meneruskan langkah perlu untuk memastikan pertumbuhan yang memberangsangkan berterusan secara mapan. – BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan