PILIHANKU

TAJAAN

02 Ogos 2010

SEPAK TAKRAW: MALAYSIA DIMALUKAN KOREA...?

Korea Selatan aibkan Malaysia
Oleh Hussain Said 
hussain@bharian.com.my 
2010/08/02

Skuad takraw tewas 2-1 pada separuh akhir berpasukan Piala Raja Thai

APA yang dibimbangkan mengenai peningkatan Korea Selatan dalam sepak takraw menjadi kenyataan di Chiang Mai, kelmarin.

Selepas menjadi pasukan belasahan, Korea Selatan kini membuktikan mereka adalah kuasa baru apabila mengaibkan pasukan yang berbangga selaku ‘pencipta permainan itu.’ Siapa lagi kalau bukan Malaysia!

Skuad bimbingan Iskandar Arshad dimalukan Korea Selatan 2-1 dalam separuh akhir acara berpasukan Kejohanan Piala Raja Thai di Chiang Mai, sekali gus menimbulkan keraguan mengenai persiapan mereka menghadapi Sukan Asia Guangzhou, November ini. 

Dalam saingan lewat malam kelmarin, skuad negara mempertaruhkan trio Norazman Abdul Hamid, Norshahruddin Md Ghani dan Farhan Adam selaku regu pertama tetapi mereka menghampakan apabila tunduk kepada regu Korea, 17-21, 21-17, 10-15.

Trio Normanizam Ahmad, Futra Abdul Ghani dan Arif Ramli - gandingan yang menjuarai Terbuka Saturn dan Heongseong - hampir menjadi mangsa tetapi pengalaman menjadi penyelamat apabila menewaskan regu kedua lawan, 24-25, 22-20, 15-13. 


Ketika kedudukan terikat 1-1, gandingan K Saravanan, Helmi Ismail dan Zulkarnain Arif jelas tidak mempunyai jawapan terhadap kekentalan dan kehebatan regu ketiga Korea Selatan apabila tewas 16-21, 14-21. 
Pengerusi Penyediaan Atlit Sepak Takraw, Muhamad Asri Abdul Jalil, mengakui kekalahan itu memberi isyarat jelas supaya skuad negara melipatgandakan usaha untuk menghadapi temasya Guangzhou yang menjadi sasaran utama.

“Saya dan barisan jurulatih bertanggungjawab atas kekalahan ini dan akan melakukan post mortem segera untuk mengenal pasti puncanya. Saya percaya kekalahan ini mungkin ada hikmahnya,” katanya.

Sumber: Berita Harian Online, 2/8/2010

1 ulasan:

  1. saya dah tengok video highlight perlawanan antara malaysia vs korea. dari apa yg saya nmbpak, regu terkuat korea ialah regu yg tewas dengan regu malaysia b iaitu normanizam, futra. regu yg lain nmpak tidak setanding dengan pemain malaysia. susah nak faham punca malaysia tewas skerana malaysia menguasai perlawanan, skil yg lebih baik sama ada tekong, killer n feeder. mungkin terlalu memandang rendah skuad korea n over confident menyebabkan skuad takraw malaysia tewas.

    BalasPadam