TEO NIE CHING menyampaikan ‘tazkirah’ di Surau Al-Huda, Kajang Sentral, Kajang, Ahad lalu sambil diperhatikan oleh salah seorang ahli jawatankuasa surau tersebut.
SHAH ALAM 26 Ogos – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan mengambil tindakan tegas terhadap Jawatankuasa Surau Al-Huda, Kajang Sentral sekiranya didapati benar mengundang ahli politik daripada kalangan bukan Islam untuk mengadakan majlis serta menyampaikan ceramah dalam dewan solat surau berkenaan, 22 Ogos lalu.
Pengarahnya, Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, amaran itu diberikan kerana tindakan membenarkan orang bukan Islam sama ada ahli politik dan sebagainya memasuki ruang solat adalah tidak dibenarkan sama sekali dan menyalahi dari segi hukum.
Hal ini kerana katanya, orang bukan Islam tidak dibenarkan memasuki dalam masjid dan surau apatah lagi di ruang solat utama kerana mereka dikategorikan seperti wanita yang didatangi haid.
“Orang bukan Islam adalah dilarang memasuki ruang solat kerana mereka ini dalam berkeadaan hadas besar apatah lagi berada di bahagian imam dan menyampaikan ucapan kepada umat Islam di dalamnya.
“Oleh itu, kita akan mendapatkan laporan dan penjelasan daripada nazir serta jawatankuasa surau berkenaan mengenai perkara ini. Jika dakwaan ini benar, kita akan memaklumkan kepada pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan tindakan tegas akan diambil,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sumber: Utusan Malaysia Online, 27/8/2010
Komen penulis: Toleransi politik PAS-DAP mengangkat Islam...?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan