Bagaimana urat simpul berlaku?
Pakar Bedah Am dan Vaskular, Dr. Tan Kong Hean berkata, urat simpul atau vena varikos berlaku apabila vena (salur darah yang membawa balik darah kurang beroksigen dari bahagian badan yang lain ke jantung dan paru-paru) menjadi tebal dan membesar. Disebabkan pembesaran tersebut, ia kelihatan membiru atau ungu serta berpintal dan akan terkeluar sedikit dari bahagian kulit seakan menggelembung.
Memudahkan pemahaman, vena mempunyai pintu injap kecil untuk mengelak darah daripada mengalir secara terbalik. Otot kaki akan mengepam vena untuk menghantar darah ke jantung, melawan kesan graviti. Apabila vena menjadi varikos, pintu injap tidak lagi berfungsi dengan betul dan injap tidak berkerja.
“Ini menyebabkan darah bergerak pada arah yang songsang dan vena membesar lebih daripada biasa.
Vena varikos biasa berlaku pada vena bahagian kaki disebabkan tekanan ketika berdiri. Terdapat juga di bahagian lain seperti vagina namun jarang-jarang berlaku,” kata doktor pakar dari Pusat Perubatan Prince Court itu.
Menurut beliau, urat simpul adalah masalah yang sering dialami oleh golongan wanita tetapi lelaki juga tidak terkecuali.
Dr. Tan menjelaskan mereka yang mengalami masalah urat simpul akan berasa sakit dan tidak selesa di bahagian kaki dan tidak boleh berjalan jauh. Pesakit katanya berkemungkinan mengalami kekajangan pada waktu malam dan lebih teruk lagi, ada juga pesakit yang mengalami gatal-gatal pada kulit. Disebabkan masalah tersebut, pesakit akan mula menggaru hingga terjadi ulser, dermatitis dan ekzema.
Pesakit urat simpul juga katanya, akan terasa seperti urat mereka akan pecah sekiranya berdiri terlalu lama.
Sumber: Utusan Malaysia Online, 22/8/2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan