PILIHANKU

TAJAAN

20 Jun 2010

CUEPACS HANYA MEMBELA KUMPULAN SOKONGAN...?

PERJUANGAN CUEPACS ABAI KUMPULAN PENGURUSAN, PROFESIONAL

Berita Harian
2010/06/07

SAYA menyokong penuh tulisan Amirul bertajuk Perjuangan Cuepacs patut sama rata yang disiarkan dalam ruangan ini pada 29 Mei lalu. Nampaknya, Cuepacs lebih memberi keutamaan kepada kumpulan sokongan dan mengabaikan kumpulan pengurusan dan profesional. Seperti dinyatakan Amirul, kumpulan sokongan diberi kenaikan gaji antara 25 hingga 35 peratus, sedangkan kumpulan pengurusan dan profesional hanya menerima kenaikan sekitar 10 peratus. Ia bermakna perbezaan gaji antara dua kumpulan itu sudah semakin hampir. Apalah maknanya bagi kakitangan kumpulan pengurusan dan profesional yang terpaksa bersusah payah belajar hingga ke peringkat tinggi jika gaji mereka semakin menguncup.
Saya amat bersetuju dengan kenyataan Amirul bahawa ramai kakitangan kumpulan pengurusan dan profesional berkorban masa, tenaga dan wang ringgit untuk melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat sarjana. Malang sekali dalam perkhidmatan kerajaan, walaupun memiliki ijazah sarjana tetapi tidak diambil kira langsung untuk kenaikan pangkat. Apatah lagi kalau ketua atau bos sendiri tidak memiliki kelulusan sedemikian. Mereka tidak berasa susah payah dan jerih pedih seseorang yang menimba ilmu. Perasaan untuk memberi penghargaan tidak wujud sama sekali. Kakitangan yang mempunyai kelulusan lebih rendah diberi kenaikan pangkat dengan mudah tanpa memiliki kelayakan akademik sewajarnya. Walaupun Presiden Cuepacs tergolong dalam kumpulan sokongan, sebagai presiden beliau seharusnya memperjuangkan nasib untuk semua penjawat awam tanpa mengira kumpulan diwakili. Oleh itu, saya berharap akan ada perubahan selepas ini. Janganlah kerana memperjuangkan nasib kumpulan sokongan hingga menyebabkan kakitangan kumpulan pengurusan dan profesional berasa jauh hati, kecewa dan terpinggir.

PENJAWAT AWAM SETIA,
Kuala Lumpur.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan